ICC dakwa usaha asingkan mahkamah bertujuan hakis keyakinan terhadap undang-undang antarabangsa
THE HAGUE – Presiden semasa dan bekas presiden badan pentadbiran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendakwa, usaha mengasingkan institusi itu daripada sokongan diplomatik bertujuan menghakis keyakinan terhadap sistem perundangan antarabangsa.
Al Jazeera melaporkan, dalam kenyataan bersama yang diterbitkan semalam, Presiden Perhimpunan Negara-Negara Pihak ICC, Paivi Kaukoranta bersama tujuh bekas presiden badan itu berkata, usaha berkenaan termasuk menggalakkan negara anggota menarik diri daripada Statut Rom atau menyertai langkah yang bertujuan melemahkan mahkamah berkenaan.
Menerusi artikel pendapat yang disiarkan portal jurnal undang-undang dan dasar Just Security, mereka berkata penubuhan ICC merupakan keputusan kolektif negara berdaulat untuk mewujudkan peraturan bagi mendakwa jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
“ICC ialah mahkamah pilihan terakhir,” kata mereka sambil menegaskan institusi itu tidak diwujudkan untuk menggantikan sistem keadilan di peringkat negara.
Mereka turut menolak hujah bahawa ICC semestinya menjejaskan kedaulatan negara, sebaliknya menyifatkan penyertaan sesebuah negara dalam perjanjian dan institusi antarabangsa sebagai pelaksanaan kedaulatan, bukannya penyerahan kedaulatan.
Kenyataan itu dibuat ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan sekatan terhadap hakim dan pegawai ICC serta memberi tekanan kepada negara lain supaya menjauhkan diri daripada mahkamah berkenaan.
Washington yang bukan anggota ICC turut menentang tindakan mahkamah itu membabitkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selain siasatan terdahulu terhadap anggota tentera AS.
Kaukoranta dan bekas presiden ICC bagaimanapun memberi amaran bahawa pertikaian berkenaan lebih besar daripada institusi itu sendiri, dengan menyifatkan pilihan yang dihadapi dunia adalah antara sistem berasaskan kedaulatan undang-undang atau keadaan apabila kuasa menentukan perkara yang dianggap benar.
Mereka menggesa 125 negara anggota ICC, organisasi antarabangsa dan serantau serta penyokong undang-undang antarabangsa memberikan sokongan politik, perundangan dan praktikal kepada mahkamah itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








