LUAR NEGARA

Ms Rachel saingi sumbangan AS$1 juta Macklemore bantu Palestin

WASHINGTON – Bintang YouTube kanak-kanak, Ms Rachel, mengumumkan akan ‘menyaingi’ sumbangan RM4.2 juta (AS$1 juta) yang dibuat penyanyi rap, Macklemore kepada tabung membantu rakyat Palestin.

Ms Rachel atau nama sebenarnya Rachel Accurso berkata, sumbangan itu akan disalurkan kepada Palestine Children’s Relief Fund (PCRF), organisasi yang memberi bantuan kepada kanak-kanak Palestin.

“Lebih 20,000 kanak-kanak Palestin telah terbunuh dan kanak-kanak terus terbunuh setiap hari.

“Kita mempunyai tanggungjawab moral untuk menggunakan keistimewaan dan platform yang dimiliki bagi melindungi kanak-kanak serta hak asasi manusia,” katanya menerusi Instagram.

Ms Rachel yang mempunyai lebih 21 juta pengikut di YouTube turut menyeru selebriti berkemampuan, khususnya golongan kaya, supaya menyamai sumbangan berkenaan.

Sebelum ini, Macklemore mengumumkan akan mendermakan keseluruhan pendapatan AS$1 juta yang diterimanya sebagai artis pembukaan dalam jelajah Loop Tour Ed Sheeran kepada enam organisasi yang membantu rakyat Palestin.

Keputusan itu dibuat selepas penyanyi rap berkenaan dikeluarkan daripada baki jelajah tersebut susulan ucapannya pada persembahan di MetLife Stadium, New Jersey, pada 4 September lalu yang antara lain menyebut ‘Free Palestine’.

Macklemore turut menyeru pemilik stadium, Robert Kraft, supaya menyamai sumbangan berkenaan.

Kontroversi itu turut menyaksikan beberapa artis sokongan lain, termasuk Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga, menarik diri daripada baki jelajah sebagai tanda solidariti terhadap Macklemore.

Dalam perkembangan berkaitan, Sheeran menegaskan keputusan mengeluarkan Macklemore daripada jelajah bukan dibuat olehnya, sebaliknya membabitkan penganjur dan pemilik venue.

Sheeran dan Kraft masing-masing turut mengumumkan sumbangan AS$2 juta bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di rantau berkenaan, namun organisasi penerima dana itu belum dinyatakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button