Al-Ruya Tower musnah, Israel runtuhkan lebih 50 bangunan di Gaza
GAZA – Tentera Israel terus menggempur Gaza dengan memusnahkan sebuah lagi bangunan tinggi di Gaza City, menjadikan sekurang-kurangnya 50 bangunan diruntuhkan sejak operasi ketenteraan dilancarkan bagi menguasai bandar terbesar di wilayah itu, menurut Pasukan Pertahanan Awam Palestin.
Serangan pada Ahad menyasarkan Al-Ruya Tower, sebuah bangunan lima tingkat yang menempatkan 24 unit pangsapuri, kedai, klinik dan gimnasium.
Tentera Israel mendakwa bangunan itu diserang selepas amaran pemindahan dikeluarkan, memaksa penduduk serta keluarga pelarian yang berlindung di khemah sekitar kawasan berkenaan meninggalkan tempat tersebut.
Dalam masa sama, serangan udara Israel di seluruh Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang, termasuk 49 di bahagian utara wilayah yang dikepung itu.
Ketua Rangkaian NGO Palestin, Amjad Shawa yang berada berhampiran lokasi serangan berkata, suasana amat menakutkan dengan penduduk panik dan kehilangan tempat berteduh.
“Ratusan keluarga hilang tempat tinggal. Israel mahu memaksa rakyat Palestin berpindah ke selatan, tetapi semua tahu tiada tempat selamat di sana malah tiada zon kemanusiaan,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mendakwa tindakan itu bertujuan ‘menghapuskan infrastruktur pengganas’, kenyataan yang sering digunakan Israel setiap kali memusnahkan bangunan awam di Gaza.
Sebelum ini, tentera Israel turut menyerang Soussi Tower setinggi 15 tingkat pada Sabtu dan Mushtaha Tower setinggi 12 tingkat pada Jumaat.
Serangan itu turut mencederakan beberapa penduduk Palestin yang berlindung di khemah di sekitar bangunan berkenaan.
Sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas Soussi Tower musnah berkata:
“Kami tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk kami. Kami keluar tergesa-gesa tanpa sempat membawa apa-apa. Separuh jam kemudian bangunan diserang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








