POLITIK

PH buat laporan polis terhadap individu didakwa hina Yamtuan Besar Negeri Sembilan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) akan membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerusi komen yang dimuat naik di media sosial.

Ketua Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan PH, Datuk Muhammad Zaki Md Sabri berkata, tindakan itu akan digerakkan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh jentera parti dalam masa terdekat.

Menurutnya, PH mengambil maklum mengenai satu laporan polis yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban oleh sekumpulan orang awam berhubung tindakan seorang lelaki yang dipercayai ahli sebuah parti politik.

“Individu tersebut secara jelas menghina Yamtuan Besar Negeri Sembilan dalam satu hantaran komen di media sosial.

“Justeru, kita telah menggerakkan PH di peringkat negeri supaya laporan polis dibuat di setiap DUN terhadap kenyataan yang menghina Yamtuan Besar Negeri Sembilan itu,” katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan di sini hari ini.

Beliau berkata, PH memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan institusi diraja dan menegaskan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam suasana kempen pilihan raya.

Dalam pada itu, Muhammad Zaki menyeru semua pihak agar terus mengamalkan kempen yang matang dan berhemah serta mengelakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Institusi Raja-Raja Melayu dan institusi adat perlu dihormati serta tidak dijadikan bahan serangan politik oleh mana-mana pihak.

“PH ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak agar kekal dalam kempen yang positif, mengelakkan perkara 3R serta tidak menghina institusi Raja-Raja Melayu dan institusi adat dalam apa jua keadaan.

“Ini adalah pertandingan demokrasi yang perlu diputuskan oleh rakyat di peti undi, bukannya dengan membakar sentimen kebencian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button