
Kastam rampas e-waste RM2.1 juta dari tiga negara
PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 186,737 kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM2.1 juta dari Kanada, Sepanyol dan Croatia dalam satu operasi di Pelabuhan Utara, minggu lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang menahan lapan kontena kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati barangan terbabit diimport tanpa permit sah selain diikrar secara tidak tepat dalam borang pengikraran dagangan.
“Komoditi yang dirampas adalah sisa elektronik terdiri daripada sampah bercampur wayar, kabel dan komponen komputer dengan anggaran berat keseluruhan 186,737 kg serta nilai kira-kira RM2,152,476.
“Siasatan mendapati lima kontena adalah dari Kanada, dua dari Sepanyol dan satu dari Croatia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Asri menjelaskan, pengimportan e-waste merupakan larangan bersyarat kecuali mematuhi peruntukan di bawah Butiran 54, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Beliau berkata, operasi berkenaan mencerminkan pendekatan penguatkuasaan rentas negeri JKDM dalam membanteras aktiviti penyeludupan.
“Bahagian Penguatkuasaan JKDM tidak mempunyai sempadan. Mana-mana negeri boleh mengambil tindakan sekiranya menerima maklumat berkaitan aktiviti haram.
“Bagaimanapun, jika sesuatu maklumat diterima oleh sesebuah negeri, negeri berkenaan akan mengendalikan kes itu sehingga ke peringkat pendakwaan bagi memastikan kerahsiaan maklumat terpelihara,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelupusan sisa elektronik dari luar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








