BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pemeriksaan kastam KLIA Terminal 1 dipusatkan di pintu pelepasan mulai 1 Januari 2026 – MOT

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan pemeriksaan kastam terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), mulai 1 Januari ini.

Menurut MOT, ketika ini, JKDM menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas ‘Departure Screening’ di zon berlepas selepas pemeriksaan imigresen, dan susun atur itu berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.

Jelasnya, inisiatif baharu itu akan membolehkan penumpang melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus akan mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas.

“Penambahbaikan ini dilaksanakan melalui kerjasama rapat antara MOT, JKDM, Malaysia Airports Holdings Bhd serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Langkah ini tidak akan menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam.
“Sebaliknya, pemeriksaan penumpang serta barangan akan terus diperkukuhkan melalui penyelarasan operasi dan pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MOT berkata, penambahbaikan itu dijangka meningkatkan pengalaman penumpang, mempercepatkan proses menaiki pesawat dan memastikan operasi KLIA T1 berjalan dengan lebih cekap, selamat serta tersusun, selaras amalan terbaik lapangan terbang antarabangsa.

“Bagaimanapun, sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang, akan tetap dikenakan tindakan tegas,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button