JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Selangor rampas 57 kontena besi, plastik sekerap bernilai RM4.96 juta

KLANG – Taktik beberapa sindiket mengaburi pihak berkuasa dengan membuat pengikraran palsu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 57 kontena mengandungi besi dan plastik sekerap bernilai keseluruhan RM4.96 juta di Zon Bebas Pelabuhan Klang, antara Januari hingga Jun lalu.

Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, sindiket terbabit dipercayai mengikrarkan barangan berkenaan sebagai alat acuan pembentuk, bahan aluminium, tembaga dan plastik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor dengan kerjasama National Targeting Centre (NTC).

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 13 kontena mengandungi 351,185 kilogram (kg) besi sekerap, manakala 44 kontena lagi mengandungi 841,552.50 kg plastik sekerap yang dipercayai diimport tanpa permit.

“Besi sekerap itu dianggarkan bernilai RM1.9 juta, manakala plastik sekerap berjumlah RM3.05 juta termasuk duti dan cukai.

“Pengimportan barangan itu tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini hari ini.

Noraidah berkata, kegiatan itu dipercayai melibatkan beberapa sindiket yang membawa masuk kontena berkenaan dari Asia Barat.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan serta membuat pengikraran tidak sah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JKDM Selangor turut merampas 48.7 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM37.5 juta termasuk duti dan cukai dalam pemeriksaan antara 3 hingga 10 Jun lalu.

Katanya, rampasan itu melibatkan empat kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

“Rokok pelbagai jenama itu dipercayai datang dari sebuah negara di Asia, namun tiada pengikraran dibuat sehingga tarikh pemeriksaan dijalankan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button