Jenazah suami Nancy diterbang ke Kuching, dikebumi di Samariang hari ini
KUALA LUMPUR – Jenazah Datuk Kamil Misuari, suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak hari ini untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan memaklumkan, jenazah dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan MH2520 pada pukul 11 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 12.50 tengah hari.
Menurut kenyataan itu, selepas selesai urusan pelepasan di lapangan terbang yang dianggarkan mengambil masa antara 60 hingga 90 minit, jenazah akan dibawa ke kediaman rasmi Nancy dan dijangka tiba pukul 2.50 petang.
BACA JUGA:
Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meninggal dunia
PM ucap takziah kepada Nancy atas pemergian suami
Solat jenazah akan diadakan di kediaman rasmi berkenaan pada pukul 4.40 petang sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.
Terdahulu, kira-kira 250 individu yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai serta kenalan hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara, di sini malam tadi.
Solat jenazah diimamkan oleh Imam Masjid Negara, Zainul Hilmi Abd Jalil.
Suasana penuh hiba menyelubungi Masjid Negara apabila ahli keluarga dan kenalan terdekat mengikuti bacaan Yasin serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum jenazah dibawa ke KLIA pada pukul 11.20 malam untuk diterbangkan ke Sarawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








