PMX

MOTAC perlu main peranan martabat aktiviti seni dan budaya – PM

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu memainkan peranan dalam memartabatkan aktiviti seni dan budaya seiring dengan kemajuan ekonomi di negara ini, ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, tidak banyak negara di dunia yang boleh mempamerkan seni budaya dengan Melayu sebagai terasnya.

“Sebab itu penting peranan MOTAC dan program yang boleh memartabatkan aktiviti seni, lukisan, puisi, filem dan teater; pementasan serta tarian.

“Tak banyak negara di dunia boleh pamerkan seni budaya dengan Melayu sebagai terasnya, suku kaum yang lain dari Perlis sampai Sabah,” katanya sebelum merasmikan Festival Budaya Putrajaya 2023 yang bertemakan ‘Perpaduan Melalui Seni Budaya’ di sini, malam tadi.

Penganjuran Festival Budaya Putrajaya menyaksikan pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records dengan persembahan khas Konsert Mega Dikir Barat dan paluan rebana berskala antarabangsa pertama diiringi orkestra tradisional malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu menjadikan perbezaan sebagai kekuatan bukannya menjadikan ia sebagai faktor persengketaan.

“Oleh itu, kita gunakan kekuatan ini untuk melihat kekuatan yang ada pada kita, kita boleh pilih perbezaan ini untuk memperkukuh dan memperkuat atau kita boleh pilih untuk menimbulkan keretakan.

“Saya percaya rakyat yang waras dan cintakan negara yang menghormati nilai ‘karamah insaniah’ dengan nilai kemanusiaan akan melihat perbezaan ini, suku kaum (dan) pelbagai jenis keraian dan budaya sebagai kekuatan kerana kepelbagaian ini membina kehebatan negara Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa sektor pelancongan dan seni budaya akan diberi perhatian dalam Belanjawan 2024.

“Menteri bimbang takut saya tak umum peruntukan tambahan, saya beri jaminan pelancongan ini bidang ekonomi yang sangat penting dalam negara kita.

“Maka MOTAC harus percaya bahawa tentunya dalam belanjawan negara kita akan beri pemusatan tentang industri pelancongan termasuk pemerkasaan seni dan budaya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button