BERITA SEMASADALAM NEGERI

Banjir: NADMA jamin pergerakan calon SPM di kawasan terjejas lancar

PUTRAJAYA – Urusan pergerakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas banjir akan dipastikan berjalan lancar melalui koordinasi logistik khas yang digerakkan kerajaan bersama agensi tindak balas di lapangan.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, penugasan itu melibatkan kerjasama rapat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengurus pergerakan pelajar termasuk menyediakan pengangkutan melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta menempatkan calon di asrama berhampiran jika keadaan memerlukan.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan teratur, selaras dengan situasi setempat yang berbeza mengikut daerah terjejas.

Tindakan tersebut dilaksanakan susulan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, selepas meninjau kesiapsiagaan operasi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pagi tadi.

“NADMA turut memperhebat koordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) bagi mempercepat tindakan balas di kawasan banjir yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah telah diaktifkan sepenuhnya bagi memastikan gerak kerja bencana kekal tersusun.

Bagi memperkukuh kekuatan operasi di lapangan, NADMA telah menggerakkan 10 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) bersama dua lori, dua kenderaan pacuan empat roda dan dua bot ke Kelantan sebagai bantuan tambahan kepada agensi penyelamat.

Meor Ismail berkata, semua agensi termasuk APM, BOMBA, PDRM, MET Malaysia, JPS, JKM dan JKR kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, manakala NDCC beroperasi 24 jam sehari bagi memantau keadaan dan memastikan amaran awal disampaikan tepat pada waktunya.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat serta kelangsungan operasi kritikal seperti peperiksaan dan persediaan pilihan raya negeri tidak terjejas meskipun hujan berterusan diramal oleh MET Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button