Kerajaan longgar etika berpakaian bagi kes kecemasan – KSN
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melonggarkan etika berpakaian bagi urusan kaunter dan pejabat kerajaan dalam situasi kecemasan dan di luar norma biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada pelanggan diberikan tanpa sebarang halangan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kelonggaran ini meliputi laporan kemalangan, kebakaran serta urusan berkaitan bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
“Langkah ini bertujuan memastikan hak pelanggan mendapat perkhidmatan segera tidak dinafikan, selaras dengan perkara 3.2 Lampiran A Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) 1/2025,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, bagi urusan biasa, ketua jabatan diberi budi bicara untuk menentukan etika berpakaian yang sopan dan bersesuaian mengikut garis panduan berkuat kuasa.
“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perhubungan pelanggan agar penyampaian perkhidmatan lebih mesra, cekap dan responsif, selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai MADANI,” katanya lagi.
Shamsul Azri turut berkata, kod etika berpakaian bagi urusan di kaunter dan pejabat kerajaan telah digariskan dalam PKPA Bilangan 1 Tahun 2025 yang berkuat kuasa pada 20 Januari lalu, menetapkan berpakaian sopan selaras Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Perkembangan itu susulan insiden seorang wanita yang dilarang masuk ke IPD Jasin kerana skirt yang dipakai dianggap tidak sesuai dengan premis kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan lain yang berurusan terus dengan pelanggan bagi memastikan kelonggaran ini dilaksanakan dengan wajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








