Tiada kompromi terhadap salah guna kuasa, rasuah libat penjawat awam – KSN
PUTRAJAYA – Kerajaan menegaskan tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah, termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perkhidmatan Awam akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan yang ditetapkan sekiranya mana-mana penjawat awam didapati bersalah hasil siasatan pihak berkuasa.
Menurut beliau, ketegasan tersebut susulan isu-isu semasa yang membabitkan tangkapan dan siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa serta rasuah dalam kalangan penjawat awam, yang menuntut tindakan tegas dan berprinsip bagi mempertahankan integriti perkhidmatan awam.
“Perkhidmatan Awam akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil, selaras dengan prinsip keadilan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola perlu sentiasa dijunjung tinggi selaras dengan ikrar Rukun Negara dan Ikrar Perkhidmatan Awam, demi memastikan imej serta kredibiliti institusi awam tidak tercemar.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah boleh menghakis keyakinan awam terhadap institusi teras negara, seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri.
“Nilai integriti merupakan asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







