PM dijangka sampaikan amanat penting pada MAPPA XX esok
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat penting kepada penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.
Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Saharah Sapiyi berkata, Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat itu ketika berucap pada acara kemuncak MAPPA XX pada pukul 3.30 petang, lapor BERNAMA.
“MAPPA XX kali ini merupakan platform atau wadah untuk Perdana Menteri berjumpa dan menyampaikan amanat kepada penjawat awam.
“Perdana Menteri akan berkongsi aspirasi yang ingin dicapai negara, apa peranan dimainkan penjawat awam dan biasanya dalam majlis ini Perdana Menteri akan mengumumkan perkara utama yang melibatkan perkhidmatan awam.
“Pada MAPPA XX yang lepas Perdana Menteri telah mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pada tahun ini saya dimaklumkan akan ada pengumuman melibatkan perkhidmatan awam serta ada pelancaran Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang akan dijadikan panduan semua ketua jabatan dan agensi dalam membangunkan bakat dalam organisasi masing-masing,” katanya.
Saharah berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV secara panggilan video, hari ini.
Tambahnya, MAPPA XX yang bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan’ bukan sekadar platform warga perkhidmatan mendengar aspirasi kepimpinan negara malah sebagai ruang menilai dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Kita juga menekankan komitmen terhadap agenda reformasi perkhidmatan awam yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara, nilai-nilai teras khidmat yang dibawa oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam juga dirangkumkan dalam MAPPA XX bagi tujuan mencapai kecemerlangan perkhidmatan awam,” katanya lagi.
Sebanyak 43 reruai melibatkan kementerian, agensi dan jabatan kerajaan turut dibuka bermula 9 pagi hingga 5 petang termasuk kaunter pengurangan kompaun dan saman oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tawaran peluang kemasukan ke institut pengajian tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








