Rombakan Kabinet hak prerogatif Perdana Menteri – Fadillah
KUCHING – Keputusan untuk membuat sebarang rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenuhnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika ada sebarang rombakan, sudah pasti Perdana Menteri akan menitikberatkan kemampuan seseorang itu untuk menerajui sesebuah kementerian.
“Saya tak tahu pun ada rombakan kabinet (kerana) tiada perbincangan dengan saya. Itu prerogatif Perdana Menteri dan sudah pasti dia akan menilai adakah kementerian itu bersesuaian dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada seseorang itu,” kata Fadillah, hari ini.
Beliau yang ditemui selepas Program Promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sini berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar semalam yang memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet dijangka berlaku sebelum 2024.
Menyentuh mengenai TVET, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, pusat khidmat parlimennya akan meluaskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) bagi menggerakkan program mempromosikan bidang itu di peringkat sekolah.
“Tumpuan ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen ini iaitu Tupong, Satok dan Samariang. Saya akan menyokong perancangan dari segi bentuk program yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun hadapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








