BERITA SEMASA

Sekretariat Bantah Trump serah memorandum gesa kerajaan batal jemputan kepada Presiden AS

PUTRAJAYA – Sekretariat Bantah Trump menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mendesak kerajaan Malaysia membatalkan jemputan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini.

Sekretariat Bantah Trump serah memorandum gesa kerajaan batal jemputan kepada bekas Presiden AS
Jurucakap sekretariat, Sharifah Haura Uzzahra

Jurucakap sekretariat, Sharifah Haura berkata, memorandum tersebut turut disokong oleh beberapa pertubuhan lain termasuk Basirah, AKSI, Artivist Network, GEGAR, Malaysia Protest for Palestine, Sekolah Merdeka, SAGM dan Sosialis Alternatif.

Menurut beliau, memorandum berkenaan mengandungi tujuh tuntutan utama yang diserahkan terus ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Pertama, kami menuntut supaya jemputan kepada Trump dibatalkan serta-merta.

“Kedua, hentikan segala bentuk normalisasi hubungan dengan imperialis Amerika Syarikat dan Israel.
Ketiga, nasionalisasikan sektor-sektor kunci serta kurangkan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing dan pinjaman luar,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Tambahnya, sekretariat turut menuntut kerajaan menyekat operasi syarikat yang menyokong tindakan genosid, menutup Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia serta menjalankan siasatan terhadap Duta Amerika Syarikat berhubung dakwaan jenayah perang oleh negara itu.

Selain itu, mereka turut menggesa kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga fosil yang dikawal oleh institusi dan negara imperialis seperti Amerika Syarikat.

Sharifah berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang didakwa menindas dunia Islam.

“Lebih 70 tahun kita menggunakan bahasa diplomasi dengan Amerika Syarikat, namun yang diterima hanyalah kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam.

“Maka kini, bahasa yang wajar digunakan ialah bahasa perlawanan melalui protes, boikot dan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menyokong perjuangan kumpulan resisten Palestin seperti Hamas dan Hezbollah serta memperhebat kempen boikot terhadap produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Sekretariat Bantah Trump serah memorandum gesa kerajaan batal jemputan kepada Presiden AS
Pegawai daripada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri menerima memorandum bantahanan bagi pihak PM

Pada masa sama, sekretariat merakamkan penghargaan kepada pegawai Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri yang menerima memorandum itu, sambil berharap kerajaan tidak akan menandatangani sebarang rundingan atau perjanjian baharu dengan Amerika Syarikat.

“Kita mesti bijak memilih siapa sahabat dan siapa lawan dalam usaha membebaskan tanah air serta dunia Islam daripada pengaruh kuasa imperialis,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button