BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Guru wanita mangsa terbaru scam atas talian

PASIR GUDANG – Seorang guru wanita di sebuah sekolah antarabangsa di sini kerugian RM190,000 selepas ‘termakan’ umpan kemewahan hasil pelaburan wang digital oleh seorang kenalan di Instagram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, laporan mengenai kejadian itu dibuat wanita tempatan berusia 50 tahun itu semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.

Katanya, wanita berkenaan mula menyedari ditipu selepas dia diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburannya.

“Mangsa mendakwa dirinya ditipu satu skim pelaburan mata wang digital yang diperkenalkan seorang lelaki dikenalinya menerusi Instagram.

“Suspek didakwa menawarkan mangsa pelaburan mata wang digital dan menunjukkan cara melabur serta menerangkan graf keuntungan tinggi yang akan mangsa peroleh.

“Suspek turut menghantar foto kehidupan mewah kononnya hasil melabur dalam pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sohaimi, sepanjang tempoh 10 Jun sehingga 16 Julai, mangsa telah membuat enam kali transkasi pembayaran berjumlah RM190,000 menerusi aplikasi Luno.

Mengulas lanjut, mangsa dikatakan turut memindahkan pelaburannya ke satu akaun e-wallet lain di aplikasi sama selepas diarahkan suspek.

“Mangsa dapat melihat graf pelaburannya menjana keuntungan yang tinggi namun wang pelaburannya tidak dapat dikeluarkan.

“Curiga dengan status pelaburannya, mangsa kemudian hadir membuat laporan kerana mengesyaki dirinya telah ditipu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button