Kastam Indonesia dedah rakaman CCTV cubaan juruterbang Malaysia seludup dadah
JAKARTA – Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia (Bea Cukai) mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan minggu lalu kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Memetik laporan Bernama, video yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Bea Cukai semalam menunjukkan suspek berusia 39 tahun itu, yang memakai pakaian seragam juruterbang, mengambil sebuah beg pakaian berwarna perak dari kawasan tuntutan bagasi sambil menarik sebuah lagi beg berwarna hitam sebelum menuju ke kawasan pemeriksaan kastam.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, suspek menggunakan laluan khas kru penerbangan sebelum diarahkan ke bilik pemeriksaan selepas dikenal pasti melalui proses pemprofilan risiko yang dijalankan pegawai kastam.
Rakaman tersebut turut memaparkan pemeriksaan bagasi yang menemukan beberapa bungkusan berwarna perang disembunyikan di bahagian bawah beg pakaian selepas pakaian dan barangan lain dikeluarkan.
Video itu juga menunjukkan pegawai kastam mengeluarkan bungkusan berkenaan sambil menyoal siasat suspek.
Di penghujung rakaman, pihak berkuasa memaparkan sebotol kecil cecair yang didakwa mengandungi air kencing palsu, dipercayai bertujuan memanipulasi keputusan ujian saringan air kencing.
Dalam sidang media pada Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan juruterbang warga Malaysia itu ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram ekstasi bernilai sekitar Rp60 bilion.
Mereka turut mendakwa suspek didapati positif MDMA, metamfetamina dan kokain, selain dipercayai pernah melakukan kegiatan penyeludupan dadah ke Indonesia sebelum ini dengan menyalahgunakan sistem pengendalian bagasi khas kru penerbangan.

Siasatan awal turut mendapati suspek dikatakan dijanjikan bayaran RM50,000 bagi melaksanakan operasi penyeludupan tersebut, manakala pihak berkuasa masih memburu dalang sindiket yang dipercayai terlibat.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan telah diberikan akses konsular kepada warga Malaysia berkenaan dan sudah menghubungi keluarganya.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pula menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia dalam siasatan kes berkenaan serta membantu melindungi sempadan negara daripada aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















