BERSATU kekal dalam PN, pertimbang bentuk jajaran politik baharu
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan parti itu kekal sebagai komponen Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama sedang meneroka pembentukan jajaran politik baharu bersama parti-parti lain.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu berasa kecewa apabila didakwa tidak dilibatkan dalam beberapa perbincangan penting membabitkan PN, termasuk rundingan pembahagian kerusi serta cadangan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, tindakan mengenepikan BERSATU dalam rundingan tersebut tidak wajar memandangkan parti itu merupakan antara pengasas utama PN.
“Sehingga kini BERSATU masih parti komponen PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah pengasas PN. Apabila BERSATU tidak dibawa dalam perbincangan mengenai pembahagian kerusi serta kerjasama dengan BN, sudah tentu kami berasa kecewa,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Ahmad Faizal turut mempersoalkan mengapa BERSATU tidak dilibatkan dalam usaha kerjasama dengan BN yang dikatakan bertujuan mengelakkan perpecahan undi Melayu.
Beliau bagaimanapun menegaskan usaha membentuk jajaran politik baharu bersama parti-parti dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan pendirian PN, sebaliknya merupakan keputusan yang telah dipersetujui di peringkat kepimpinan gabungan itu.
“Mengenai jajaran baharu, terdapat pelbagai pandangan daripada semua pihak dan pimpinan parti sedang berusaha untuk bekerjasama dengan parti-parti dalam IPR. Perkara itu telah dipersetujui dalam pimpinan PN dan usaha tersebut akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan kenyataan BERSATU mengenai pembentukan jajaran politik baharu memberi gambaran bahawa parti itu berkemungkinan tidak akan kembali bersama PN.
Menurut beliau, kenyataan tersebut selari dengan pendirian yang telah diumumkan secara terbuka oleh kepimpinan BERSATU.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tuan Ibrahim berkata PAS masih menunggu pengumuman tarikh pilihan raya sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Beliau turut merujuk kenyataan Presiden BERSATU sebelum ini bahawa parti berkenaan akan membentuk pakatan politik baharu selepas selesai PRN Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















