Pecah cermin kenderaan, polis tahan tiga lelaki
PETALING JAYA – Polis menahan tiga lelaki awal pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian memecahkan cermin lima kenderaan di kawasan parkir Desa Mentari, di sini dua hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, semua suspek ditahan di sekitar daerah ini.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan, polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai memecahkan cermin lima kenderaan di kawasan parkir berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5 petang.
Rakaman video kejadian yang dipercayai dirakam dari tingkat atas sebuah bangunan berhampiran memaparkan beberapa lelaki menaiki motosikal bergerak di antara deretan kenderaan yang diparkir.
Sebahagian daripada penunggang dilihat berhenti di sisi kereta sebelum kumpulan itu memecut keluar melalui kawasan parkir yang sesak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerosakan harta benda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















