OCHA beri amaran sistem kesihatan Gaza semakin kritikal
NEW YORK – Sistem penjagaan kesihatan di Gaza kini berada pada tahap kritikal susulan kekurangan bekalan asas, kerosakan infrastruktur dan serangan berterusan terhadap kemudahan perubatan.
Perkara itu dinyatakan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA (OCHA) dalam taklimat harian terbaharunya.
Menurut OCHA, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merekodkan sekurang-kurangnya 22 serangan terhadap fasiliti dan perkhidmatan kesihatan di Gaza yang mengakibatkan kematian, kecederaan serta menjejaskan operasi ambulans dan hospital.
“Rakan kemanusiaan di Gaza turut berdepan kesukaran serius mendapatkan bekalan air bersih dengan tiga daripada empat keluarga kini bergantung kepada penghantaran air menggunakan trak,” katanya.
Agensi itu berkata, pertubuhan bantuan kini mengagihkan sekitar 24,000 meter padu air setiap hari menerusi kira-kira 2,000 pusat pengagihan, namun operasi tersebut bergantung sepenuhnya kepada generator dan mesin yang berisiko rosak akibat kekurangan alat ganti serta bahan penyelenggaraan.
OCHA turut memberi amaran sekatan terhadap kemasukan minyak enjin, generator dan alat ganti menyebabkan banyak sistem kritikal termasuk hospital, loji kumbahan dan kemudahan sanitasi gagal berfungsi secara berperingkat.
Menurut WHO, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, lebih satu pertiga permohonan permit pesakit untuk mendapatkan rawatan di Jerusalem Timur sama ada ditolak atau ditangguhkan, jauh lebih rendah berbanding sebelum perang tercetus pada Oktober 2023.
Agensi berita antarabangsa sebelum ini melaporkan WHO menyifatkan sistem kesihatan Gaza kini berada di ‘titik kehancuran’ dengan kebanyakan hospital mengalami kerosakan teruk akibat konflik berpanjangan.
Menurut laporan itu, hanya sebahagian kecil hospital di Gaza masih mampu beroperasi sepenuhnya manakala ribuan pesakit termasuk kanak-kanak masih menunggu proses pemindahan perubatan keluar dari wilayah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













