LUAR NEGARA

6 bekas tentera IDF diserang lelaki bersenjata di Mongolia

ULAN BATOR – Enam pelancong Israel, terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita yang baru menamatkan perkhidmatan dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF), dilaporkan diserang di sebuah tapak perkhemahan di utara Mongolia dalam kejadian minggu lalu.

Laporan media Israel menyebut, serangan dilakukan oleh sekumpulan individu yang didakwa sebagai Muslim berketurunan Kazakh dengan bersenjatakan kapak serta pisau.

Menurut laporan itu, kejadian berlaku ketika warga Israel itu sedang membuat persiapan untuk bermalam di sebuah tapak perkhemahan.

“Lelaki itu dikatakan menghampiri mereka selepas mendengar kumpulan itu bertutur dalam bahasa Ibrani sebelum menjerit ‘Heil Hitler’ serta mengarahkan mereka meninggalkan kawasan tersebut.

“Suspek kemudian didakwa meluru ke arah mangsa sambil membawa kapak, menyebabkan tiga bekas anggota IDF itu bertindak mempertahankan kumpulan itu sehingga mereka berjaya melarikan diri,” menurut laporan itu.

Dalam kejadian itu, seorang daripada mangsa mengalami patah rahang selepas ditumbuk di bahagian muka sebelum diterbangkan pulang ke Israel untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan sama, pihak berkuasa Mongolia menawarkan mangsa untuk membuat laporan polis, namun mereka memilih untuk tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun, insiden itu dikatakan mendapat kecaman daripada pegawai kerajaan Mongolia.

Mangsa turut memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Israel di China, yang mengendalikan urusan konsular bagi Mongolia dan pihak kedutaan dilaporkan terus berhubung dengan mereka sepanjang proses bantuan.

Sebelum ini, beberapa laporan media Israel mendakwa penyerang terdiri daripada individu berketurunan Kazakh, namun identiti, motif dan latar belakang suspek belum disahkan oleh pihak berkuasa Mongolia.

Mongolia dianggap sebagai destinasi yang selamat bagi pelancong Israel, meskipun insiden berunsur ‘antisemitisme’ dilaporkan semakin meningkat di beberapa negara sejak kebelakangan ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button