IGEM jana pelaburan hijau lebih RM10 bilion, buka peluang pekerjaan baharu
KUALA LUMPUR – Penganjuran Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) berjaya menjana pelaburan hijau melebihi RM10 bilion setakat ini, sekali gus memperkukuh pertumbuhan ekonomi hijau negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian agensi di bawah kementerian itu turut membuka ruang kepada pengembangan industri hijau dan penciptaan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik.
Menurutnya, antara bidang yang berpotensi berkembang termasuk tenaga boleh baharu, kewangan lestari, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengurusan sisa serta ekonomi kitaran.
“MGTC turut menguruskan pensijilan MyHIJAU Mark dan direktori MyHIJAU bagi menyokong pertumbuhan industri hijau serta memperluas penggunaan produk dan perkhidmatan mesra alam.
“Usaha ini sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, sektor tenaga boleh baharu menawarkan peluang dalam bidang pengurusan projek, kejuruteraan dan penyelenggaraan teknologi tenaga bersih, pengauditan tenaga serta penilaian kitaran hayat (LCA).
Katanya, perkembangan kewangan lestari pula mewujudkan permintaan terhadap kepakaran dalam analisis pelaburan lestari, kewangan hijau, pelaporan ESG, perundingan kelestarian korporat, pengurusan karbon dan pasaran karbon.
“Perkembangan ekonomi kitaran turut mewujudkan peluang dalam bidang Waste-to-Energy, pengurusan rantaian bekalan hijau, reka bentuk bangunan lestari serta pertanian dan perhutanan lestari,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, negara masih berdepan cabaran jurang kemahiran apabila permintaan terhadap bakat hijau kini mencecah 11.6 peratus berbanding bekalan semasa hanya 5.6 peratus.
Menurutnya, golongan belia turut berdepan kekangan struktural termasuk peluang pekerjaan yang terhad, jurang latihan dan kemahiran serta ketidakselarasan kurikulum pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri hijau semasa.
Sehubungan itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM3 bilion melalui kerjasama TalentCorp, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi merangka program peningkatan kemahiran, kemahiran baharu dan kemahiran rentas bidang dalam pengurusan tenaga serta ekonomi kitaran.
Arthur berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menterjemahkan kebimbangan generasi muda terhadap perubahan iklim kepada peluang pembangunan ekonomi dan kerjaya bernilai tinggi.
“Dengan memadankan kesedaran iklim belia dan penyediaan kerjaya bernilai tinggi, kita bukan sahaja membendung krisis alam sekitar, tetapi juga membina generasi peneraju yang bakal memacu kelestarian negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







