Rangka dinosaur Nanotyrannus dilelong RM204 juta
NEW YORK – Rangka dinosaur pemakan daging yang pernah disalah anggap sebagai Tyrannosaurus rex (T. rex) muda mencatat harga jualan AS$47.3 juta (RM204 juta) dalam satu lelongan di New York, Amerika Syarikat.
Rangka setinggi kira-kira tiga meter yang diberi gelaran Jodi itu dilelong oleh Sotheby’s, setahun selepas penyelidik mengesahkan fosil berkenaan berasal daripada genus dinosaur berbeza yang dikenali sebagai Nanotyrannus.
BBC News melaporkan, dinosaur yang hidup pada zaman Kapur Akhir itu sebelum ini dijangka memperoleh sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM38.8 juta) menerusi lelongan berkenaan yang berlangsung pada Selasa.
Jualan itu menyusul selepas Sotheby’s melelong rangka T. rex yang dikenali sebagai Gus pada Julai lalu dengan harga AS$50.1 juta (RM216 juta), sekali gus mencetuskan perdebatan baharu dalam kalangan saintis mengenai penjualan fosil dinosaur kepada pemilik persendirian berbanding pameran untuk tatapan umum.
Sotheby’s menyifatkan rangka Jodi sebagai spesimen yang sangat baik dan sedia dipamerkan, mengandungi kira-kira 191 elemen tulang fosil serta tengkorak yang hampir lengkap dan terpelihara dengan indah.
Rumah lelongan itu turut memaklumkan bahawa Nanotyrannus berkenaan adalah antara hanya tiga rangka seumpamanya yang diketahui oleh dunia sains.
Menurut Sotheby’s, spesimen itu juga merupakan rangka Nanotyrannus pertama yang ditawarkan di pasaran sejak kewujudan genus berkenaan disahkan oleh penyelidik Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu.
Identiti pembeli yang memenangi bidaan selepas persaingan sengit selama 12 minit membabitkan enam pihak tidak didedahkan.
Dengan harga jualan itu, Jodi menjadi fosil dinosaur kedua termahal pernah dilelong, di belakang Gus. Tempat ketiga pula disandang fosil Stegosaurus yang dikenali sebagai Apex, yang dijual pada harga AS$44.6 juta (RM192 juta) oleh Sotheby’s pada Julai 2024.
Pakar paleontologi dari Universiti Portsmouth, Megan Jacobs berkata, Nanotyrannus sekian lama dianggap sebagai T. rex yang masih muda.
“Namun, saiznya jauh lebih kecil dan struktur badannya lebih ramping. Ia mempunyai bentuk tubuh yang langsing dengan gigi seperti bilah untuk mengoyakkan daging,” katanya kepada program Today terbitan BBC Radio 4.
T. rex dan Nanotyrannus dipercayai hidup bersama dalam tempoh geologi yang sama, kira-kira 67 juta tahun lalu.
Rangka Jodi pada asalnya dipamerkan sebagai T. rex juvenil di pameran seni antarabangsa Frieze Masters di London pada Oktober 2023, sebelum Nanotyrannus diklasifikasikan sebagai genus yang berasingan.
Fosil itu ditemukan oleh seorang penternak, Jodi Pierson di tanah miliknya di Montana, Amerika Syarikat dalam kawasan Formasi Hell Creek yang terkenal sebagai tapak kajian geologi dan fosil.
Rangka berkenaan kemudian digali oleh ahli paleontologi komersial, Clayton Phipps.
Phipps turut menemukan fosil terkenal yang dikenali sebagai ‘Dueling Dinosaurs’ yang memaparkan rangka Nanotyrannus dan Triceratops dalam keadaan seolah-olah sedang bertarung. Fosil itu ditemukan pada 2006, kira-kira 13 kilometer dari lokasi penemuan Jodi.
Penemuan ‘Dueling Dinosaurs’ menjadi bukti penting dalam penyelidikan oleh Lindsay Zanno dan James Napoli yang mengklasifikasikan Nanotyrannus sebagai genus berbeza daripada T. rex sekali gus menamatkan perdebatan selama beberapa dekad mengenai sama ada kedua-dua dinosaur itu spesies yang berbeza.
Lelongan Jodi berlangsung ketika sebahagian saintis bimbang penjualan fosil bernilai tinggi boleh membuka lembaran baharu dalam kegiatan pengumpulan fosil oleh golongan ultra kaya.
Selepas jualan Gus, beberapa penyelidik memberitahu BBC bahawa fosil sedemikian sepatutnya dipamerkan di ruang awam supaya dapat dikaji dengan lebih terbuka dan dimanfaatkan untuk pendidikan.
Pakar paleontologi Universiti Edinburgh, Prof Steve Brusatte, yang turut menjadi perunding bagi filem Jurassic Park sebelum ini menyifatkan lelongan T. rex itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
“Saya tidak tahu mana-mana muzium atau universiti yang mampu membayar harga sedemikian,” katanya kepada program What in the World terbitan BBC World Service pada Julai lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


