BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jam poket emas milik pasangan tragedi Titanic dijual pada harga RM9.65 juta

LONDON – Sebuah jam poket emas milik salah seorang penumpang paling kaya dalam tragedi Titanic mencuri tumpuan dunia apabila berjaya dilelong pada harga mencecah £1.78 juta (kira-kira RM9.65 juta), sekali gus mencatat rekod baharu dalam sejarah memorabilia kapal itu.

Jam 18 karat jenama Jules Jurgensen itu ditemui bersama jasad Isidor Straus, ahli perniagaan kelahiran Bavaria yang juga rakan pemilik gedung ternama Macy’s di New York selepas beliau maut dalam tragedi yang meragut lebih 1,500 nyawa pada 14 April 1912.

Jasad Straus ditemui beberapa hari selepas kapal berkenaan karam ketika dalam pelayaran dari Southampton menuju New York, namun isterinya, Ida, tidak pernah dijumpai.

Kisah cinta setia pasangan itu terus menjadi legenda apabila Ida dilapor menolak tempat dalam bot penyelamat semata-mata enggan meninggalkan suaminya, memilih untuk mati di sisinya.

Jam berkenaan, yang selama lebih satu abad disimpan rapi oleh keluarga Straus, dilelong oleh Henry Aldridge and Son Auctioneers di Devizes, Wiltshire, pada Sabtu lalu.

Ia dipercayai hadiah ulang tahun ke-43 daripada Ida kepada suaminya pada 1888, lengkap dengan ukiran inisial Straus, dan jarumnya berhenti tepat pada pukul 2.20 pagi, iaitu detik Titanic tenggelam ke dasar Atlantik.

Cicit Straus, Kenneth Hollister Straus, sebelum ini telah membaiki dan memulihkan mekanisme jam berkenaan.

Lelongan itu, menurut juru­lelong Andrew Aldridge, membuktikan kisah Titanic terus mendapat tempat di hati masyarakat dunia lebih 113 tahun selepas tragedi tersebut.

“Setiap penumpang—tanpa mengira lelaki, wanita atau kanak-kanak—membawa kisah masing-masing. Kisah pasangan Straus ialah kisah cinta abadi, dan harga rekod ini membuktikan betapa tinggi penghormatan terhadap mereka,” katanya.

Tahun lalu, sebuah jam poket emas yang dihadiahkan kepada kapten kapal Carpathia yang menyelamatkan lebih 700 mangsa Titanic memegang rekod lelongan dengan nilai £1.56 juta sebelum rekod itu kini dipintas jam milik Isidor Straus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button