Khuzzan mahu semak semula projek ubah suai pasar, elak peniaga terjejas
BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Khuzzan Abu Bakar berjanji akan meneliti semula projek pengubahsuaian bangunan di kawasan Pasar Batu Pahat bagi memastikan peniaga tempatan tidak terjejas sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, isu berkenaan antara perkara utama dibangkitkan peniaga dan penduduk ketika sesi walkabout di sekitar Pasar Batu Pahat, Jalan Ibrahim hari ini.
Katanya, selain isu pembangunan Sekolah Agama Bersepadu Negeri Johor (SABNJ), penduduk turut menyuarakan kebimbangan berhubung kemudahan awam serta pelaksanaan projek pembangunan semula yang dikhuatiri memberi kesan kepada operasi perniagaan.
“Antara isu yang dibangkitkan ialah projek pengubahsuaian bangunan sedia ada kepada projek baharu yang dikhuatiri mengganggu perniagaan masyarakat dan peniaga di sini.
“Kebanyakan peniaga yang saya temui sudah lama berniaga di kawasan ini dan mereka bimbang perubahan susun atur serta pengindahan kawasan akan menjejaskan keluasan premis dan jumlah pelanggan yang datang,” katanya kepada Malaysia Tribube ketika ditemui selepas sesi walkabout bersama penduduk dan peniaga di Pasar Batu Pahat pagi ini.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu, kawasan berkenaan mempunyai nilai nostalgia tersendiri yang perlu dikekalkan bagi terus menarik kehadiran pengunjung.
“Jika saya diberi peluang kembali sebagai ADUN Semerah, saya akan memastikan projek ini diteliti semula dan peniaga diberikan ruang serta peluang yang sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita mahu pembangunan berlaku tetapi pada masa sama tidak menjejaskan mata pencarian peniaga yang telah lama beroperasi di sini,” katanya lagi.
Khuzzan berkata, antara fokus utama beliau ialah membantu peniaga kecil mendapatkan akses kepada geran dan pembiayaan mudah melalui agensi seperti TEKUN Nasional.
“Bantuan kewangan semata-mata tidak mencukupi tanpa ilmu pengurusan yang baik.
“Kadangkala peniaga menerima bantuan kewangan tetapi berdepan masalah pengurusan perniagaan dan kewangan.
“Sebab itu kita bukan sahaja mahu membantu dari sudut modal, malah memberi bimbingan mengenai pengurusan perniagaan dan kewangan supaya mereka dapat berkembang dengan lebih mampan,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan peniaga memanfaatkan platform digital bagi memperluaskan pasaran produk masing-masing.
“Sebagai contoh, produk makanan atau kerepek yang dijual secara tradisional boleh dipasarkan secara dalam talian. Kita mahu bantu dan ajar mereka bagaimana menggunakan platform digital untuk meningkatkan jualan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khuzzan berkata, antara agenda pembangunan yang akan diperjuangkan di Semerah termasuk cadangan pembinaan susur keluar lebuh raya berhampiran Taman Sri Sulong bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Menurutnya, kemudahan itu mampu menarik pelaburan baharu sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Beliau juga bwrkata, keperluan menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan bandar termasuk cadangan pembinaan pintu air di Parit Dobie yang disifatkan sebagai antara saliran utama di Batu Pahat.
“Pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di Johor Bahru. Kita mahu setiap daerah termasuk Batu Pahat menikmati pembangunan ekonomi yang lebih seimbang agar peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat dapat dipertingkatkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Khuzzan menyerahkan rekod perkhidmatannya sepanjang menjadi ADUN Semerah dan Exco Kerajaan Johor dari 2018 hingga 2022 untuk dinilai rakyat.
“Pengundi boleh menilai sendiri rekod kerja saya sepanjang tempoh tersebut dan membandingkannya dengan calon-calon lain.
“Jika mahukan Semerah terus maju ke hadapan, saya berharap rakyat memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








