Kecewa kemasukan Tengku Zafrul, bekas calon PRU-15 PKR Parlimen Putrajaya umum keluar parti
PUTRAJAYA – Calon PKR bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada parti itu susulan kecewa dengan kemasukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Noraishah berkata, keputusannya itu ditujukan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, serta seluruh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang merestui kemasukan Tengku Zafrul.
“Sistem organisasi negara kita kini lemah, rakyat terpinggir semakin ramai. Macam mana orang seperti Tengku Zafrul nak jaga kita yang terpinggir?
“Saya kenal dia sejak muda. Orang seperti Tengku Zafrul hanya peduli golongan atasan,” dakwanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut mengimbas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, ketika pelancaran Ayuh Malaysia 2.0 bahawa rakyat Malaysia masih selamat kerana saling menjaga antara satu sama lain, bukannya bergantung pada wakil rakyat atau individu berkepentingan.
Noraishah mendakwa sistem politik berasaskan “patronage” masih subur di Malaysia dan dipelihara oleh golongan elit yang hanya memberi kelebihan kepada pihak yang mampu menguntungkan mereka.
“Tengku Zafrul tewas kepada Dr Dzulkefly Ahmad di PRU15. Saya yakin dengan ‘sodokan’ kepada pihak tertentu dan tabur kepada golongan yang memerlukan, akan ada cukup pengampu dalam PKR untuk membantu beliau capai hasrat menang pada PRU16,” katanya lagi.
Sementara itu beliau juga menggesa golongan akademik agar berani bersuara mengenai masalah negara termasuk isu alam sekitar, kemerosotan nilai kemanusiaan serta peningkatan kelahiran anak-anak dengan pelbagai ketidakupayaan.
Menurutnya, perjuangan yang dibawanya adalah untuk kanak-kanak #HidupMalaysiaNTD, hasil inspirasi daripada pengorbanan ibunya yang berjuang demi pendidikannya walaupun beliau dilahirkan dengan kecacatan.
“Tengku Zafrul dan golongan atasan ini hanya memberi khidmat di bibir kepada masyarakat terpinggir. Selamat tinggal PKR, kamu sudah mematahkan hati saya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








