Lada hitam dan putih dari pokok sama, cuma berbeza kaedah proses
KUALA LUMPUR – Ramai mungkin menyangka lada hitam dan lada putih berasal daripada pokok berbeza, sedangkan kedua-duanya dihasilkan daripada buah pokok lada yang sama.
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB), Vincent Sawat berkata, perbezaan antara lada hitam dan lada putih terletak pada kaedah pemprosesannya selepas buah lada dipetik.
Menurutnya, bagi menghasilkan lada hitam, buah lada hijau yang sudah matang dipetik sebelum dijemur selama beberapa hari sehingga bertukar warna menjadi hitam.

“Manakala untuk menghasilkan lada putih, lada hijau daripada pokok yang sama dipetik dan direndam dalam air mengalir selama 14 hari.
“Selepas kulitnya tertanggal, ia dibersihkan dan dijemur sebelum menjadi lada putih,” katanya menerusi podcast bersama Suara TV.
Beliau berkata, perbezaan kaedah pemprosesan itu turut menyebabkan kedua-dua jenis lada mempunyai kegunaan berbeza dalam masakan.
“Kalau untuk sup, lebih sesuai lada putih, manakala untuk barbeku dan makanan yang digoreng, lebih kepada lada hitam,” katanya.
Bagaimanapun, Vincent berkata, penggunaan lada kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan kerana industri berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kepada produk bukan makanan.
Katanya, lada berpotensi digunakan dalam penghasilan produk seperti produk penjagaan badan, minyak wangi dan losyen.
Malah, beliau berkata, penyelidik MPB kini sedang menjalankan kajian bagi meneroka penghasilan produk berasaskan lada dalam bidang aromaterapi, nutraseutikal dan farmaseutikal.
“Ini untuk langkah jangka panjang bagi mempelbagaikan penggunaan lada,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

