PRN Johor: Faizuddin tawar empat agenda utama untuk Kempas
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Mohamad Faizuddin Mohamad Fuad menawarkan empat agenda utama melibatkan pendidikan, ekonomi anak muda, penyelesaian masalah rakyat dan pengukuhan gerak kerja akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Faizuddin berkata, pendidikan akan menjadi keutamaan beliau memandangkan sebahagian besar penduduk Kempas terdiri daripada golongan B40 yang memerlukan peluang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup.
Menurutnya, beliau mahu memastikan anak-anak di kawasan itu mendapat akses pendidikan yang berkualiti sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat kemahiran vokasional atau diploma.
Dalam aspek ekonomi, beliau bertekad membantu golongan muda mendapatkan akses kepada pembiayaan perniagaan, latihan kemahiran serta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang dijangka diwujudkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Saya mahu anak muda Kempas memanfaatkan peluang dalam bidang TVET, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor supaya mereka tidak ketinggalan dalam ekonomi masa depan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, komitmennya untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat berbanding membuat janji yang sukar ditunaikan.
“Kempas yang disifatkan sebagai “Mini Malaysia” memerlukan seorang wakil rakyat yang memahami keperluan masyarakat pelbagai kaum serta mampu menyatukan komuniti setempat.
Pada masa sama, Faizuddin memaklumkan jentera PH Kempas telah berjaya merekrut lebih 200 sukarelawan muda bagi membantu gerak kerja kempen di 19 pusat mengundi melibatkan 108 saluran.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi Kempas termasuk yang berada di luar kawasan dan luar negara agar pulang mengundi pada 11 Julai bagi menentukan masa depan kawasan tersebut dan negeri Johor.
“Pulanglah mengundi dan berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















