Jualan Rahmah bantu kurangkan beban rakyat, bukan penyelesaian jangka panjang – Maszlee
JOHOR BAHRU – Program Jualan Rahmah dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, namun ia bukan penyelesaian jangka panjang kepada cabaran ekonomi yang dihadapi masyarakat.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, pelaksanaan Jualan Rahmah bertujuan mengurangkan beban golongan yang terkesan akibat kenaikan harga barang dengan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah menerusi subsidi kerajaan.
Menurut beliau, kenaikan harga barang berlaku disebabkan faktor ekonomi termasuk ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran yang menyebabkan harga meningkat dan sukar dielakkan.

“Tidak semua orang mampu membeli apabila harga naik. Sebab itu Jualan Rahmah diwujudkan untuk membantu golongan yang terkesan.
“Kerajaan tidak memberikan wang tunai secara langsung, sebaliknya menyediakan subsidi supaya rakyat dapat membeli barangan pada harga yang lebih murah.
“Di Johor sendiri, antara perkara yang sering diadukan rakyat ialah peningkatan kos sara hidup yang sememangnya tidak boleh dinafikan,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Rahmah di Kampung Maju Jaya, di sini hari ini.
Mengulas mengenai keutamaan yang ingin diberikan sekiranya diberi mandat, Maszlee berkata, isu kesesakan lalu lintas terutama pada waktu pagi di kawasan Maju Jaya dan sekitarnya perlu diberi perhatian segera.
Menurutnya, keadaan jalan yang sempit tetapi menampung jumlah kenderaan yang tinggi menjadi antara punca utama kesesakan yang dihadapi penduduk setiap hari.
“Untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas memang memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat. Namun usaha itu perlu dimulakan sekarang.
“Kita perlu menggerakkan kerjasama bersepadu melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan bagi meneliti kaedah terbaik mengurus serta mengalihkan aliran trafik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa golongan muda terutama pengundi kali pertama supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.
“Bagi anak-anak muda dan mereka yang berada di luar kawasan, saya berharap mereka pulang mengundi dan membuat pilihan demi masa depan mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















