BERITA SEMASA

Malaysia tawar bantuan padam kebakaran hutan di Kalimantan

KUALA LUMPUR – Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan di negara itu termasuk menggerakkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 52 anggota.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu dibuat ketika pertemuan beliau bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Hambalang, Indonesia.

Menurut beliau, Prabowo telah menyatakan kesediaan menerima tawaran bantuan Malaysia bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan di wilayah berkenaan terutamanya di Kalimantan.

“Saya menghargai kesediaan Bapak Presiden menerima bantuan Malaysia, termasuk sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 anggota yang bersedia digerakkan bagi membantu operasi pemadaman kebakaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan langkah pencegahan bagi memastikan isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan dapat ditangani dengan lebih tersusun.

Katanya, Malaysia dan Indonesia turut meneroka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang industri halal serta beberapa sektor lain yang memberi manfaat bersama.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Indonesia kini berada pada tahap yang sangat baik, selain menegaskan kepentingan kedua-dua negara serumpun itu terus bekerjasama dan saling menghormati.

“Sebagai dua negara serumpun, kita mempunyai begitu banyak persamaan, kepentingan bersama dan ruang untuk terus bergerak maju sebagai rakan yang saling melengkapi,” katanya.

Menurutnya, Malaysia dan Indonesia akan terus mengutamakan kerjasama serta penyelesaian bersama dalam menangani isu yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button