BERITA SEMASA

Malaysia perlu jadi hab pemikir serantau – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Malaysia perlu mengangkat peranan sebagai hab pemikir serantau yang berteraskan nilai, meraikan kepelbagaian dan berpaksikan kesederhanaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, keunikan geografi dan kepelbagaian budaya Malaysia sebagai titik pertemuan antara timur dan barat memberikan tanggungjawab moral serta intelektual kepada negara untuk memimpin rantau ini dalam bidang pemikiran, inovasi dan pembangunan beretika.

“Sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada sekadar menjadi pengguna idea kepada peneraju dalam penghasilan ilmu dan inovasi di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menyeru agar penganjuran FOI tidak hanya menjadi acara tahunan semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi satu gerakan nasional yang menggalakkan budaya berfikir, berinovasi dan bekerjasama di pelbagai peringkat, iaitu daripada sekolah dan universiti hingga ke komuniti luar bandar.

“Biarlah festival ini menjadi pemangkin kepada ekosistem ilmu, tempat pelajar berhujah, penyelidik bekerjasama dan rakyat bersama-sama mencari penyelesaian terhadap masalah sebenar masyarakat.

“Dari dewan kuliah hingga ke kampung, jadikan Malaysia sebuah negara yang berfikir, bertanya dan mencipta bersama,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) berkata, kekuatan moral serta keberanian intelektual merupakan kunci utama untuk Malaysia terus maju menghadapi cabaran global yang kini didorong oleh teknologi dan ledakan maklumat.

Ahmad Zahid menambah, kerajaan telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya TVET Kebangsaan bagi menyelaras 1,398 institusi di seluruh negara agar program latihan sejajar dengan keperluan industri.

Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membudayakan kreativiti, kemahiran teknikal dan pembelajaran sepanjang hayat ke arah melahirkan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing serta berpengetahuan tinggi.

“TVET tidak lagi boleh dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama dalam sistem pendidikan negara. Siapa kata graduan TVET tidak boleh berjaya? Seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung ASEAN, TVET bakal menjadi pilihan nombor satu dalam sistem pendidikan kita,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga terhadap Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, seorang pemimpin dunia yang memiliki latar belakang pendidikan TVET.

“Ini membuktikan bahawa graduan TVET juga mampu menjadi ahli politik dan pemimpin negara. Saya yakin suatu hari nanti, mungkin ada dalam kalangan anda yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia, Insya-Allah,” katanya.

Beliau menambah, kemahiran perlu dijadikan ‘mata wang baharu’ negara dan bukan hanya kelayakan di atas kertas, tetapi nilai sebenar yang mampu mengangkat kedudukan Malaysia di pentas dunia.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia kini sedang membina ekosistem inovasi menyeluruh, daripada Taman Teknologi Tinggi Kulim hingga ke zon penyelidikan universiti bagi menghubungkan ilmu tempatan dengan jaringan kemajuan global.

Beliau turut memberi jaminan Dr Zambry bahawa kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan bagi menyokong penganjuran FOI tahun hadapan, sambil menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan penyokong utama program berkenaan yang kini dijadikan acara tahunan negara.

Festival Idea Putrajaya 2025, yang berlangsung mulai hari ini hingga 8 November, dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan dua juta peserta keseluruhan, termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button