Kerajaan pantau rapi gempa lemah di Segamat, orang ramai diminta tidak panik – Zahid
JELEBU – Kerajaan memberi jaminan akan terus memantau rapi situasi gegaran lemah di Segamat, Johor bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, masyarakat, khususnya penduduk yang berada di kawasan terlibat dinasihatkan agar tidak panik sebaliknya kekal berada dalam keadaan siap siaga.
“Saya telah melaporkan kepada Jemaah Menteri semalam dan saya juga diberitahu oleh Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (situasi semasa gempa bumi), pemantauan akan terus dilakukan.
“Insya-Allah, kesiapsiagaan untuk seluruh penduduk Segamat dan Johor secara amnya, akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan negara.
“Saya harap masyarakat tidak panik, mudah-mudahan tiada bencana besar berlaku,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan yang disertai kira-kira 270 peserta bermotosikal di Jelebu, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Baca juga : Segamat dilanda gempa bumi lemah sekali lagi
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meminta orang ramai melakukan solat hajat memohon kesejahteraan dan berdoa agar dijauhkan daripada malapetaka tidak diingini.
Gempa bumi lemah sekali lagi direkodkan di Segamat pagi ini dengan magnitud 2.7 pada jam 7.29 pagi, menjadikan ia gegaran kelima dalam tempoh lapan hari di daerah itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, pusat gegaran berada di koordinat 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, turut menitahkan semua masjid dan surau di Johor melaksanakan solat hajat serta doa selamat selepas beberapa gegaran di Segamat sejak kejadian pertama direkodkan pada 24 Ogos lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








