Malaysia tekad jadikan pendidikan tinggi jambatan dunia, bukan tembok pemisah – Fadillah
PUTRAJAYA – Malaysia komited menjadikan pendidikan tinggi sebagai jambatan yang menghubungkan keamanan, kemajuan dan kemanusiaan sejagat, bukannya tembok yang memisahkan dunia kepada blok-blok berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah berkata, reformasi pendidikan tinggi di Malaysia berasaskan keyakinan bahawa pembinaan negara bermula dengan pembinaan minda, selaras dengan falsafah Malaysia MADANI yang menyeimbangkan kemajuan dengan belas ihsan, inovasi dengan keterangkuman dan kemodenan dengan nilai moral.
“Malaysia kini memposisikan pendidikan tinggi sebagai jambatan keamanan dan kerjasama, menghubungkan utara dan selatan global melalui perkongsian penyelidikan, mobiliti pelajar serta pemahaman bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Baca juga : Malaysia perlu jadi hab pemikir serantau – Zahid
Menurut beliau, Malaysia juga berbangga terhadap pengukuhan kerjasama selatan–selatan, khususnya dalam kalangan negara ASEAN bagi memperkasa inovasi, keadilan dan pertumbuhan bersama merentasi sempadan
Fadillah menegaskan, masa depan bersama dunia bergantung kepada komitmen kolektif dalam memperbaharui sistem pendidikan tinggi agar seiring dengan keperluan semasa.
“Persoalan utama kini bukan lagi sama ada pendidikan mampu mengubah dunia, tetapi sejauh mana cepat kita mampu mengubah pendidikan untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang sedang berubah,” katanya.
Melangkaui tahun 2030, Fadillah menyeru agar dilakukan tiga anjakan transformasi utama dalam sistem pendidikan negara bagi memenuhi keperluan dunia yang semakin berubah.
Anjakan pertama ialah beralih daripada aspirasi kepada tindakan dengan menjelmakan matlamat global kepada hasil nyata di peringkat nasional agar manfaat pendidikan dapat dirasai secara menyeluruh.
Beliau turut menekankan pentingnya beralih daripada bersikap terasing kepada semangat bekerjasama dengan memperkukuh kerjasama antarabangsa dan penglibatan semua lapisan masyarakat.
“Anjakan ketiga pula menekankan peralihan daripada akses kepada agensi, iaitu memperkasa setiap pelajar sebagai pencipta penyelesaian, bukan sekadar penerima ilmu,” katanya.
Dalam konteks kelestarian dan peralihan hijau, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata,
krisis iklim adalah cabaran terbesar abad ini dan memerlukan pendekatan pendidikan yang bukan hanya mengajar tentang alam sekitar, tetapi mendidik untuk kelangsungan planet ini.
Beliau berkata, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan inisiatif TVET Hijau, Malaysia menyepadukan kelestarian ke dalam sistem pembelajaran bagi melahirkan jurutera, perancang dan usahawan yang memahami keseimbangan antara kemakmuran dan kelangsungan bumi.
“Bagi menjamin masa depan yang berdaya tahan, literasi iklim mesti diterapkan di setiap bilik darjah, makmal penyelidikan dan wacana dasar, kerana ketahanan yang dibina atas asas rapuh bukanlah ketahanan sejati,” katanya.
Tambahnya, dunia kini berada di era transformasi teknologi luar biasa yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), robotik dan inovasi kuantum, iaitu kuasa yang bukan sahaja mengubah ekonomi dan pekerjaan, malah mentakrif semula cara manusia belajar.
“AI menawarkan potensi besar, daripada pembelajaran peribadi hingga merapatkan jurang bahasa, namun ia turut menimbulkan persoalan etika dan budaya yang mendalam. Maka, pendidikan bukan sekadar mengajar teknologi tetapi memanusiakannya,” jelasnya.
Fadillah berkata, Malaysia kini sedang memperkukuh literasi AI dan kecekapan digital dalam sistem pendidikan bagi melahirkan pelajar yang mampu menguasai teknologi, bukan menjadi hamba kepadanya.
“Komitmen kita ialah memastikan peralihan digital berpusatkan manusia berpaksikan etika, keadilan dan empati,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment