BERITA SEMASA

Festival Idea Putrajaya 2025 perkukuh kesepaduan ilmu, inovasi ASEAN

PUTRAJAYA – Penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 memperlihatkan komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama serantau apabila turut disertai wakil dari Indonesia dan Filipina.

Wakil ASEAN yang terlibat, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Republik Indonesia, Profesor Dr. Brian Yulianto serta Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED), Dr. Sheryl Castaneda Agrupis.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr.
Zambry Abdul Kadir berkata, penyertaan dua negara jiran itu bukan sahaja memberi makna besar kepada festival berkenaan, malah menyerlahkan semangat kesepaduan ASEAN dalam bidang ilmu dan inovasi.

“Festival ini kini bukan lagi inisiatif nasional, tetapi telah berkembang menjadi platform ASEAN yang dikongsi bersama untuk dialog, imaginasi dan kerjasama serantau,” katanya.

Baca juga : Malaysia tekad jadikan pendidikan tinggi jambatan dunia, bukan tembok pemisah – Fadillah

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, ASEAN dengan populasi muda, warisan budaya yang kaya serta potensi ekonomi besar berupaya menjadi antara rantau paling dinamik di dunia jika disatukan melalui idea dan semangat kerjasama yang kukuh.

“Bagi merealisasikan potensi ini, kita perlukan idea yang menyatukan, yang menghubungkan minda, institusi dan negara. Festival ini menjadi jambatan yang menghubungkan Malaysia dan ASEAN untuk membayangkan masa depan bersama,” katanya

Zambry menambah, dunia kini berada dalam era baharu di mana kekuatan sesebuah negara tidak lagi diukur melalui kekayaan sumber bumi, sebaliknya terletak pada keupayaan minda, kreativiti dan inovasi rakyatnya.

Jelasnya, sumber paling berharga pada masa kini bukan lagi hasil di bawah tanah, tetapi kebijaksanaan dan daya cipta manusia yang menjadi pemangkin kepada kemajuan negara.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya medan penting untuk mencorak transformasi, memupuk imaginasi serta menyemai benih kemajuan masa depan.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak ketinggalan melahirkan tokoh berwibawa dalam bidang inovasi, antaranya Dr. Wu Lien-teh, pencipta topeng perubatan moden pertama di dunia yang merupakan anak watan negara ini.

“Semangat inovasi dan daya fikir seperti itu perlu terus dipupuk bagi melahirkan generasi baharu yang berani mencipta serta membawa perubahan untuk kesejahteraan manusia sejagat,” katanya.

Menurut Zambry, kejayaan edisi sulung festival itu pada 2024 menjadi pemangkin kepada penganjuran tahun ini yang disertai ribuan pelajar dan ahli akademik dari seluruh negara.

“Festival ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu gerakan minda yang meraikan keinginan untuk berfikir, keberanian untuk mencipta dan semangat untuk bekerjasama,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button