BERITA SEMASA

USIM tanggung yuran pendaftaran pelajar yatim

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan untuk nembantu seorang anak yatim yang juga penghuni
Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Zambry berkata, pihaknya akan memberikan bantuan segera kepada Muhammad Firdaus Abdullah, 19, untuk menyambung pengajian dalam bidaang Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah di universiti itu.

“Mendengar cerita Muhammad Firdaus yang bapanya telah meninggal dunia dan ibunya ditempatkan di sebuah pusat jagaan akibat masalah kesihatan, saya telah meminta pegawai saya untuk terus berhubung dengan Encik Shah, penjaga rumah pertubuhan ini.

“Insya-Allah team Yayasan Perkasa Siswa (YPS) KPT dan USIM sendiri akan mengambil tindakan sewajarnya. Bantuan segera akan diberikan dan yang penting, Firdaus daftar dan sambung belajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, beliau sendiri telah menghubungi pihak Pertubuhan Anak Yatim Az Zahra bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Firdaus.

Beliau memberikan jaminan USIM akan membantu beliau untuk mendaftar dan seterusnya melanjutkan pengajian di USIM.

“Antara bentuk bantuan yang akan diberikan ialah pihak USIM akan mengambil adik Firdaus dari Sungai Petani, Kedah dan membawanya ke USIM dengan kenderaan rasmi universiti. Kita juga akan menyediakan kemudahan di Rumah Tamu USIM untuk penjaga beliau sekiranya diperlukan.

“Yuran pendaftaran akan ditanggung melalui sumbangan Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM.

“USIM akan membantu mencarikan biasiswa, bantuan kewangan atau tajaan sepanjang beliau menuntut ilmu di USIM,” katanya.

Sementara itu, katanya USIM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar juga akan membantu pelajar itu sepanjang proses pendaftaran di USIM nanti.

“Semoga usaha kecil ini dapat membuka ruang yang lebih luas untuk masa depan adik Firdaus dan menjadi asbab keberkatan bersama.

“Saya juga sangat berterima kasih kepada Meneri Pendidikan Tinggi yang sentiasa peka dan perihatin akan nasib anak-anak yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button