JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan suami isteri raih RM12,000 seminggu jual ketum ditahan polis

KUANTAN – Kegiatan sepasang suami isteri memproses dan menjual air ketum terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Bukit Rangin, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pasangan berusia 52 dan 62 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang susulan maklumat awam mengenai kegiatan terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 1,150 balutan plastik lut sinar mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan 187.5 kilogram (kg).

“Polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,745,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati pasangan terbabit dipercayai mampu memproses kira-kira 300 kg daun ketum dalam tempoh seminggu.

Katanya, daun ketum itu dibungkus dan dibekalkan kepada pelanggan, dengan jualan minimum satu kilogram pada harga RM40 bagi setiap bungkusan.

“Hasil siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai sudah dijalankan lebih sebulan,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button