
UiTM terus laksana Dasar Keutamaan Bumiputera – MOF
KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dibenarkan melaksanakan sepenuhnya Dasar Keutamaan Bumiputera dalam urusan perolehan kerajaan selaras ketetapan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan (PK1.5), kata Kementerian Kewangan (MOF), hari ini.
Penegasan itu sekali gus menolak dakwaan tular di media sosial oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) bahawa universiti berkenaan mengetepikan hak bumiputera dalam pelaksanaan perolehannya.
MOF menjelaskan, pindaan terbaharu terhadap PK1.5 yang akan berkuat kuasa mulai 2025 hanya melibatkan penetapan Ketua Kewangan (financial controller) bagi syarikat yang menyertai perolehan kini perlu bertaraf bumiputera.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh profesionalisme bumiputera dan turut terpakai kepada perolehan UiTM,” menurut kenyataan itu.
MOF turut menegaskan bahawa pindaan terhadap pelaksanaan peraturan perolehan kerajaan mengikut kerangka Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak melibatkan UiTM kerana institusi itu adalah badan berkanun yang dikecualikan daripada skop perjanjian tersebut.
“UiTM tidak pernah meminggirkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam urusan perolehan dan pelaksanaan projek,” kata kementerian itu lagi.
Tambah MOF, pihaknya komited memastikan pelaksanaan perolehan oleh semua agensi kerajaan sentiasa menyokong Dasar Keutamaan Bumiputera bagi memperkukuh daya saing syarikat bumiputera dalam ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








