BERITA SEMASA

Lebih 200 sertai Digital Empathy 5KM Fun Run, semai kesedaran buli siber

SHAH ALAM – Lebih 200 peserta menyertai Digital Empathy 5KM Fun Run dalam usaha menyemai empati dan etika komunikasi menerusi program kesedaran komuniti di Dataran Kemerdekaan, di sini baru-baru ini.

Program itu dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia menggabungkan aktiviti fizikal bersama advokasi keselamatan siber serta kesedaran terhadap isu buli siber yang semakin membimbangkan.

Acara larian sejauh lima kilometer itu disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Fun Run UiTM
Barisan mahasiswa UiTM yang terlibat sebagai penganjur program ini.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM, Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman; Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar; Ahli Majlis MBSA, Tengku Ahmad Tengku Kasim serta Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBSA, Shahrin Ahmad.

Program ini merupakan sebahagian daripada kempen Think Before You Type: Make Kindness Viral yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kesan negatif buli siber serta membentuk budaya komunikasi digital yang sihat, beretika dan berperikemanusiaan.

“Keunikan Digital Empathy 5KM Fun Run terletak pada empat titik semakan interaktif yang wajib diselesaikan peserta sebelum menerima pingat penamat.

“Tiga daripadanya memberi tumpuan khusus kepada simulasi dan kesedaran buli siber melalui aktiviti berbentuk permainan, advokasi dan refleksi pengalaman peserta,” kata penganjur.

Sementara itu, Mohd Fauzi memuji pendekatan program tersebut yang menggabungkan elemen pendidikan dan riadah komuniti secara kreatif serta relevan dengan cabaran semasa.

Fun Run UiTM
Penyerahan token penghargaan Datuk Bandar Shah Alam kepada Dekan Fakulti Komunikasi Pengajian Media, UiTM Shah Alam.

“Satu pendekatan yang baik dalam menangani isu buli siber yang semakin meningkat.

“Kita perlu mempraktikkan etika dan perilaku bermoral di ruang siber bagi mengekalkan keharmonian yang sedia ada,” katanya.

Seorang peserta, Arisya Sofia, 23, menyifatkan penyertaannya sebagai pengalaman bermakna meskipun pertama kali menyertai acara larian.

“Saya tidak menyangka program ini begitu menarik kerana mengetengahkan elemen anti-cyberbuli.

“Aktiviti di setiap checkpoint menjadikan pengalaman larian lebih menyeronokkan dan membuka mata tentang isu ini,” katanya.

Program itu juga diadakan bagi memenuhi keperluan akademik dua subjek pengkhususan di bawah bimbingan pensyarah, Norhayati Baba dan Sharifah Yuliana selaku penasihat.

Penganjur berharap Digital Empathy 5KM Fun Run 2026 dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti digital yang lebih bertanggungjawab, saling menghormati dan beretika, seiring aspirasi melahirkan masyarakat yang matang dalam menghadapi landskap teknologi tanpa sempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button