Festival Bahasa IPT perkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen memperkukuh penggunaan dan penghayatan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki jati diri kebangsaan yang utuh.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, berkata, mahasiswa yang mencintai bahasa ibunda adalah golongan yang berkeyakinan, matang dan mampu berdiri teguh di pentas global tanpa kehilangan akar identiti bangsa.
“Mahasiswa yang teguh dengan identiti bahasa Melayu tidak akan hilang arah di pentas dunia. Mereka akan dikenali sebagai generasi yang berakar di bumi sendiri tetapi mampu terbang tinggi ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Penutupan Festival Bahasa IPT 2025 yang julung kali diadakan di Anjung Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, semalam.
Festival yang dianjurkan sempena Dekad Bahasa Kebangsaan itu adalah manifestasi cinta terhadap bahasa kebangsaan, selain menjadi wadah penting memperkasakannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa progresif di universiti.
Penganjuran program itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Teknologi Mara (UiTM), KPT dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ia berjaya menghimpunkan penyertaan mahasiswa dan pensyarah dari seluruh IPT menerusi pelbagai pertandingan seperti Pidato Interaktif, Deklamasi dan Lakon (DEKON) serta Eksplorasi Jawi.

Dalam pada itu, Mustapha turut memuji peranan IPT yang kini giat membangunkan teknologi linguistik termasuk aplikasi terjemahan dan kecerdasan buatan (AI), membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi moden.
Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Inovasi Nukilan Kemanusiaan yang disempurnakan oleh beliau sebagai simbol perkembangan ilmu melalui bahasa kebangsaan.
“Saya berharap festival ini menjadi titik mula kepada gerakan pengembangan bahasa Melayu yang lebih segar dan menyeluruh dalam ekosistem universiti,” ujarnya.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








