BERITA SEMASASUKAN

Malaysia jadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN 2026, sasar penyertaan 4,000 atlet serantau

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Universiti ASEAN (AUG) Edisi ke-22 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 20 Disember tahun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, temasya dwitahunan itu bakal menghimpunkan kontinjen dari 11 negara ASEAN yang akan berkampung di sekitar Lembah Klang.

“Lima universiti dipilih sebagai venue pertandingan utama, iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sebanyak 25 jenis sukan bakal dipertandingkan bermula 10 hingga 20 Disember 2026 yang dijangka melibatkan penyertaan lebih 4,000 atlet dan pegawai dari seluruh rantau Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu hari ini.

Antara venue utama ialah Dewan Badminton HEP UiTM, Stadium UPM bagi acara olahraga, serta Pusat Akuatik Shah Alam/TAR UMT bagi pertandingan renang dan terjun.

AUG mula diperkenalkan pada 1981 di Chiang Mai, Thailand, dengan Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah buat kali pertama pada 1984 di Bangi, Selangor.

Dalam pada itu, kontinjen negara turut meraih kejayaan sebagai juara keseluruhan pada dua edisi iaitu di Kuala Lumpur 2008 dan Vientiane, Laos pada 2012.

Sempena penganjuran edisi 2026, beberapa acara rasmi turut dijadualkan, termasuk Majlis Pelancaran pada 4 Disember 2025 di Vivatel Hotel Kuala Lumpur; Upacara Menaikkan Bendera Kontinjen pada 30 November 2026s

Turut diadakan, Majlis Perasmian pada 10 Disember 2026; dan Majlis Penutup pada 20 Disember 2026, masing-masing berlangsung di Stadium UiTM.

AUG 2026 telah dimasukkan dalam takwim acara sukan utama negara dan dijangka memperkukuh reputasi Malaysia di pentas sukan universiti serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button