BERITA SEMASADALAM NEGERI

MEDIU rai 1,287 graduan dalam majlis konvokesyen ke-5

PUTRAJAYA – Seramai 1,287 graduan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) terdiri daripada 1,111 pelajar antarabangsa dan tempatan dirai dalam Majlis Konvokesyen Ke-5 yang berlangsung di Hotel Marriott, di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 713 orang adalah penerima Ijazah Sarjana Muda, 349 (Sarjana) dan 225 (PhD) yang terdiri daripada pelajar dari rantau Asia, Asia Barat dan Afrika.

Konvokesyen yang turut disertai oleh 22 pelajar antarabangsa secara maya itu merupakan graduasi bagi tahun pengajian 2021 hingga 2024 yang ditangguh berikutan pandemik Covid-19.

Majlis ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Putera Khalid Bin Bandar Al Saud yang memberi penghormatan kepada MEDIU sekaligus menjadi lambang hubungan pendidikan serta budaya yang terjalin erat antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Pada majlis itu, MEDIU memberi pengiktirafan Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada tokoh pelajar berusia 74 tahun, Dr. Abd. Rahim Awang Kechik yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana dalam bidang Tafsir dan ‘Ulum Al-Quran (Kerja Kursus dan Kertas Projek/Kajian Kes) dengan pencapaian PNGK 3.07.

Dr. Abd. Rahim Awang Kechik bersama trofi Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat yang diterima beliau.

Sementara itu, Anugerah Pengerusi pula diberikan kepada Nor Adilah Mohd Yusuf, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa (Kepujian) dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab, yang kini berkhidmat di MEDIU sebagai Penolong Pendaftar di Jabatan Pelajar Antarabangsa.

“Walaupun tidak mempunyai latar belakang akademik dalam pengajian Islam sebelum ini dan mengikuti program sepenuhnya dalam bahasa Arab pada usia emas, Dr. Abd Rahim menunjukkan semangat juang serta kesungguhan menuntut ilmu yang wajar dijadikan teladan,” kata MEDIU dalam kenyataannya.

Timbalan Naib Canselor, Prof Ir. Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, majlis yang bersejarah itu membuktikan usaha berterusan MEDIU dalam melahirkan graduan berdaya saing serta pemimpin masa depan.

Beliau berkata, MEDIU yang kini mempunyai lebih 3,000 pelajar mensasarkan peningkatan jumlah kemasukan pelajar kira-kira 20 peratus setahun melalui pembelajaran secara fizikal dan dalam talian.

Usaha itu katanya sedang dilakukan melalui beberapa program penambahbaikan dengan memperkenalkan program pengajian dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan menjalinkan kerjasama lebih luas termasuk pengajian lanjutan dengan beberapa universiti luar negara.

“Berdasarkan permintaan dan keperluan semasa, kita dalam usaha memperkenalkan program dalam bidang AI yang dijangka dimulakan pada Julai tahun depan di bawah Fakulti Teknologi Maklumat.

“Selain pengajian secara khusus, ia juga akan dimasukkan sebagai subjek pilihan untuk program-program pengajian lain,” katanya ketika ditemui pemberita.

Prof Ir. Dr Kamal Nasharuddin Mustapha
Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai

Sementara itu, pensyarah Fakulti Kewangan dan Sains Pengurusan, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sebagai sebuah universiti wakaf, MEDIU juga berusaha menarik lebih ramai pelajar tempatan melalui kerjasama dengan sekolah, maktab dan maahad tahfiz di seluruh negara.

“Melalui pendanaan daripada Yayasan King Salman dan juga yayasan dari Kuwait, pihaknya bercadang memperluaskan tajaan pendidikan (biasiswa) kepada pelajar tempatan yang memerlukan.

“Sejak dahulu lagi kita ada tawarkan biasiswa dan ini akan diteruskan namun sebahagian besar daripada pelajar peringkat Sarjana dan PhD masuk melalui tajaan negara masing-masing,” katanya.

Dr. Barjoyai berkata, antara program pengajian yang menjadi pilihan utama di MEDIU adalah Sains Islam, Kewangan, Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan pengajian Bahasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button