BERITA SEMASA

1,100 graduan dirai pada Majlis Konvokesyen SLDN

BANGI – Seramai 1,100 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-10 Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Konvokesyen kali ini melibatkan 41 pusat bertauliah SLDN yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan kerjasama Persatuan Alumni belia 4B Malaysia, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan SLDN Malaysia.

Seramai 1,100 graduan daripada pelbagai bidang kemahiran diraikan pada majlis yang penuh gemilang ini.

Presiden Persatuan SLDN Malaysia, Datuk Joyah Rashid berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 700 orang daripadanya merupakan graduan wanita.

“Semua graduan terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang kesihatan, kecantikan, auto mobil, keusahawanan, pengurusan, perusahaan, perkhidmatan, perubatan, kesenian dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pada konvokesyen itu.

Tambah beliau, program ini masih relevan untuk diteruskan kerana ia memberi peluang kepada mereka yang mahu menambah ilmu dalam bidang kemahiran.

Daarvin yang diraikan adik-beradiknya gembira kerana berjaya mendapatkan sijil dalam bidang kemahiran pastri dan bakeri.

Salah seorang graduan, Daarvin Yuthaya Kumar, 19, berkongsi kegembiraan apabila berjaya mendapatkan sijil dalam bidang kemahiran pastri dan bakeri.

“Saya memang minat memasak. Jadi bila sertai program ini, rasa bangga dan gembira kerana berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh lapan bulan,” kata beliau yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Bagi Abdul Hakam Salleh, 54, pula, faktor usia bukan penghalang untuknya menuntut ilmu.

“Saya dari bidang Ground Support Equipment dan dahulu merupakan bekas kakitangan teknikal di Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines.

Abdul Hakam bersama isterinya percaya usia bukan penghalang untuknya terus menuntut ilmu.

“Bidang ini tak ramai yang sertai, jadi saya memerlukan sijil yang berkaitan untuk meneruskan kerjaya. Alhamdulillah, SLDN ada menawarkan kemahiran ini,” katanya.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Megat Zulkarnain mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sijil tauliah kepada graduan.

Persatuan SLDN Malaysia ditubuhkan atas dasar untuk menggabungkan pusat-pusat kemahiran di bawah satu payung ke arah mencapai matlamat untuk membangunkan pendidikan kemahiran usahawan sama ada bertaraf ilmiah atau kemahiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button