BERITA SEMASA

UM tetapkan tiga saluran utama pengambilan program perakaunan

PUTRAJAYA – Universiti Malaya (UM) menetapkan pengambilan pelajar bagi program perakaunan dibuat melalui tiga saluran utama iaitu Unit Pusat Universiti (UPU), program feeder UM dan juga Saluran Terbuka Universiti Malaya (SATU).

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, daripada keseluruhan 150 hingga 160 tempat ditawarkan setiap tahun, sebanyak 85 tempat diisi melalui proses saringan UPU.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 28 tempat pula diperuntukkan kepada calon feeder UM, manakala kira-kira 30 hingga 50 tempat lagi ditawarkan melalui SATU.

“Kalau kita lihat dalam UPU ini ada tiga kategori iaitu kategori pertama adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan juga asasi selain daripada UM.

“Kategori kedua adalah pelajar lepasan diploma dan ketiga adalah kategori program feeder iaitu mereka daripada Universiti Malaya.

“Maka, 85 tempat itu datangnya dari UPU, 28 pula daripada feeder UM dan lebih kurang 30 hingga 50 tempat melalui saluran terbuka (direct intake),” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azuan menjelaskan bahawa tawaran 28 tempat bagi kategori feeder UM merupakan amalan biasa yang diberikan oleh UPU untuk membolehkan universiti memilih calon lepasan asasi yang menepati merit.

Beliau turut menegaskan isu perbezaan antara jumlah pelajar diterima dan bilangan graduan perlu dilihat dalam konteks menyeluruh.
“85 tempat itu datangnya dari UPU dan keseluruhan menjadi 113 tempat dengan 28 daripada feeder UM.

“Beliau (Wee Ka Siong) mengatakan tak sama dengan graduan yang keluar, kita kena tengok secara holistik, sebagai contoh tahun 2024, graduan yang keluar lebih kurang 150 hingga 160 orang.

“Sebab itu kita ada saluran yang dikenali sebagai saluran terbuka di mana kita tawar 30 hingga 50 tempat dan akhirnya menjadi antara 150 hingga 160 tempat untuk diisi,” jelasnya.

Mengulas mengenai pengambilan melalui SATU, beliau sekali lagi menegaskan ia tidak dibuat secara automatik kerana calon perlu memohon sebelum disaring ketat berdasarkan ranking sama seperti proses UPU.

“Direct intake ini bersyarat dan meritnya sama seperti UPU tetapi (tawaran) dikeluarkan selepas daripada tarikh rayuan.

“Dalam surat jelas menyatakan bahawa tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tarikh rayuan itu dibuat, jadi calon bagi 30 hingga 50 tempat ini ditapis berdasarkan ranking, kita akan lihat siapa yang terbaik.

“Kita kena ingat nama sahaja saluran terbuka tetapi ini bukan lah saluran yang diberi secara automatik, tidak sama sekali. Ia adalah saluran yang perlu dimohon kemudian (tapisan) mengikut ranking sama seperti proses UPU,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan tawaran 85 tempat kepada calon program perakaunan di UM, sedangkan jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun sejak 14 tahun lalu melebihi 100 orang.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, berdasarkan maklumat laman web UM, purata graduan program tersebut sejak 2011 hingga 2024 sentiasa dalam angka tiga digit, malah ada tahun mencecah hampir 200 orang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button