BERITA SEMASA

KPT ikuti rapat isu sekatan pelajar antarabangsa di Universiti Harvard

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengikuti rapat perkembangan sekatan baharu oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Harvard.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata langkah tersebut diambil susulan sekatan yang diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.

“Kita akan ambil langkah mengikut keperluan semasa dan dalam konteks ini, tindakan akan dibuat dalam konteks yang berlaku di Universiti Harvard terlebih dulu.

“Kerajaan sedang memantau (isu berkenaan) sebab kita difahamkan, langkah diperkenalkan Trump dan kerajaan diterajui beliau itu disanggah, selain pihak mahkamah di AS juga sudah menghentikan langkah terbabit.

“Kita akan lihat perkembangan lanjut kerana ada pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di sana,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Hubungan Dua Permata Tamadun Belahan Timur Dunia di sini, semalam.

Kelmarin, media antarabangsa melaporkan hakim persekutuan AS menyekat sementara rancangan kerajaan AS itu untuk mengecualikan pelajar asing daripada memasuki Universiti Harvard.

Baca juga : Sekatan pelajar asing ke Harvard tindakan regresif – Zambry

Harvard dalam hujahannya menegaskan pembatalan pensijilan dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) adalah tindak balas punitif yang jelas bagi penolakannya terhadap tuntutan dasar kerajaan serta tidak mematuhi undang-undang.

Trump sebelum ini berang dengan Harvard yang telah menghasilkan 162 pemenang Hadiah Nobel, kerana menolak permintaan beliau agar tunduk kepada pengawasan mengenai kemasukan dan pengambilan kakitangan susulan dakwaan bahawa universiti itu menjadi sarang anti-Semitik dan ideologi liberal ‘woke’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button