BERITA SEMASA

Sekatan pelajar asing ke Harvard tindakan regresif – Zambry

Donald Trump menghadkan akses pelajar antarabangsa ke Universiti Harvard

PUTRAJAYA – Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghadkan akses pelajar antarabangsa ke Universiti Harvard disifatkan sebagai dasar yang regresif, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Zambry, mobiliti pelajar antarabangsa merupakan aspek penting dalam dunia pendidikan hari ini, khususnya dalam konteks Amerika Syarikat yang selama ini menjadi tumpuan pelajar dari seluruh dunia.

“Amerika menjadi pusat ilmu hasil sistem dan dasar pendidikannya yang tersendiri, namun apabila dasar seperti ini diperkenalkan, ia bukan sahaja menjejaskan institusi pendidikan dan kerajaan mereka sendiri, tetapi turut memberi kesan kepada negara-negara lain yang menghantar pelajar untuk melanjutkan pengajian di sana.

“Langkah sebegini bersifat regresif. Kita lihat sistem sedia ada tidak lagi memberi manfaat sepenuhnya kepada semua pihak, termasuk Amerika sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Program anjuran KPT yang mengumpulkan lebih 70 peserta itu merupakan platform perkongsian dan jaringan strategik antara Menteri Pendidikan Tinggi dengan pensyarah muda universiti awam dan mahasiswa menerusi pelbagai pengisian kepimpinan dan asas kenegaraan.

Dalam program berkenaan, beliau turut melancarkan buku Karisma: Aspiring Madani Leaders.

Baca juga : Hadkan akses pelajar antarabangsa di Harvard jejas prinsip pendidikan sejagat

Menurut Zambry, sekiranya dasar sebegitu diteruskan, adalah penting untuk Malaysia dan negara lain menilai langkah alternatif kerana masih banyak institusi lain yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi.

Khamis lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil tindakan drastik dengan membatalkan keupayaan Universiti Harvard untuk mendaftar pelajar antarabangsa.

Walau bagaimanapun, seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) menyekat sementara larangan Presiden Donald Trump untuk mengecualikan pelajar asing daripada diambil belajar di universiti terbabit.

Perintah injuksi sementara itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Daerah AS, Allison Burrough, beberapa jam selepas universiti berkenaan memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump Jumaat lalu. 

Harvard dalam hujahannya menegaskan pembatalan pensijilan dalam Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) adalah tindak balas punitif yang jelas bagi penolakannya terhadap tuntutan dasar kerajaan serta tidak mematuhi undang-undang. 

Trump sebelum ini berang dengan Harvard yang telah menghasilkan 162 pemenang Hadiah Nobel, kerana menolak permintaan beliau agar tunduk kepada pengawasan mengenai kemasukan dan pengambilan kakitangan susulan dakwaan bahawa universiti itu menjadi sarang anti-Semitik dan ideologi liberal ‘woke’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button