BERITA SEMASADALAM NEGERI

Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Utara meriah, tarik ribuan pengunjung

GEORGETOWN – Karnival Jom Masuk U (JMU) 2025 Zon Utara yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar dan Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan pengunjung.

Diadakan selama dua hari bermula 3 dan 4 Mei, majlis perasmian JMU 2025 disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, semalam.

Melalui satu hantaran di Facebook, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, karnival itu menawarkan pelbagai peluang dan informasi pendidikan tinggi yang menyeluruh.

Ribuan pengunjung hadir pada program yang berlangsung selama dua hari itu.

Ia termasuk kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya.

“Pada program ini, turut diadakan sesi pertemuan secara langsung bersama wakil universiti awam Malaysia.

“Maklumat lengkap mengenai kelayakan kemasukan, program pengajian dan peluang biasiswa juga diterangkan dengan lebih lanjut.

“Di samping itu, pengunjung juga berpeluang menerokai maklumat daripada pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan, seni dan pendidikan.

“Ia turut memberi pendedahan kepada gaya hidup kampus, kemudahan pelajar serta hala tuju kerjaya,” kata kenyataan itu.

Dua orang pelajar lepasan SPM menyemak maklumat di papan digital sebuah IPTA yang terlibat dalam karnival tersebut.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta USM dan menghimpunkan pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti dari seluruh negara.

Karnival JMU 2025 akan diteruskan ke beberapa lokasi lain iaitu di Bangi, Selangor; Kota Kinabalu, Sabah dan penutupnya di Manjung, Perak pada 17 dan 18 Mei ini.

Turut hadir Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr. Narimah Samat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Karnival JMU 2025 Zon Utara.

JMU 2025 menjadi platform penting dalam membantu pelajar membuat pilihan tepat mengenai masa depan pengajian mereka, di samping mendekatkan institusi pengajian tinggi kepada masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button