BERITA SEMASADALAM NEGERI

Khaled Nordin hadiri pertemuan pelbagai hala bersama menteri-menteri Pertahanan ASEAN

PUTRAJAYA – Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa kerjasama pertahanan serantau akan diperkukuhkan melalui pertemuan pelbagai hala antara menteri-menteri Pertahanan ASEAN sempena IISS Shangri-La Dialogue 2025 di di Singapura.

Pertemuan itu katanya, menjadi platform penting bagi negara-negara ASEAN menyuarakan pandangan mengenai isu-isu keselamatan serantau, khususnya yang berkaitan dengan wilayah Indo-Pasifik.

“Sesi pertemuan pelbagai hala ini dimanfaatkan oleh setiap negara ASEAN untuk berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau, khususnya di wilayah Indo-Pasifik, serta usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara negara ASEAN dan Amerika Syarikat,” katanya menerusi catatan di Facebook, semalam.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sesi pertemuan pelbagai hala antara Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, Timor-Leste dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth di sini, semalam.

Katanya, beliau telah berkongsi pandangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengenai penyelesaian bagi krisis di Myanmar dan situasi semasa di Laut China Selatan yang perlu diterajui sepenuhnya menerusi pendekatan yang berpaksikan ASEAN.

Beliau berkata, pendekatan terbaik bagi usaha itu adalah melalui kerangka yang bersifat ASEAN-led dan ASEAN-driven.

Beliau turut menekankan pentingnya semua pihak untuk terus mendukung nilai-nilai dan prinsip teras ASEAN bagi memastikan keselamatan, kedaulatan, dan kestabilan rantau ini sentiasa terpelihara.

Di samping itu, sesi tersebut turut dimanfaatkan untuk memperhalusi usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara ASEAN dan Amerika Syarikat.

Pada kesempatan itu, Mohamaed Khaled turut merakamkan ucapan tahniah kepada Chan Chun Sing yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan Singapura yang baharu, sambil menyatakan keyakinan bahawa hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button