BERITA SEMASA

Fokus berkhidmat, bukan berpolitik – TMJ kepada ADUN Johor

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat dan membantu pembangunan negeri kerana kini bukan musim pilihan raya.

Peringatan itu diberikan kepada 56 ADUN Johor ketika baginda merasmikan pembukaan Persidangan Keempat DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

“Saya ingin ingatkan semua ADUN Johor bahawa sekarang bukan musim pilihan raya, setiap daripada anda sudah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Jadi sila fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Bangsa Johor perlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk berkhidmat serta membantu negeri ini terus membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” titah baginda.

Beberapa pemimpin politik di Johor sebelum ini hangat membincangkan agihan kerusi bagi menghadapi PRN yang dijangka tahun depan, sekali gus mencetuskan perdebatan terbuka sama ada parti bertanding secara solo atau bersama Kerajaan Perpaduan.

Mengikut penggal pentadbiran negeri, ia hanya akan berakhir pada Mac 2027 susulan PRN Johor diadakan pada Mac 2022.

Sementara itu, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan harapan supaya DUN Johor terus menjadi medan perbincangan dasar dan penggubalan undang-undang yang matang, bukan tempat melepaskan emosi atau mencetuskan konflik politik.

“Saya ingin tegaskan DUN Johor ini dewan yang mulia, bukan medan untuk bertelagah, bukan tempat untuk lepaskan emosi atau kepentingan politik peribadi, sebaliknya dewan ini adalah wadah untuk membincangkan dasar, menggubal undang-undang dan paling utama memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor.

“Saya harap keharmonian yang menjadi tradisi DUN Johor akan dicontohi dan terus dipelihara. Jangan biarkan percakaran jadi budaya dan jangan jadikan dewan ini bahan ketawa rakyat,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button