PRN: Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala PRN Negeri Sembilan akan dijalankan pada 1 Ogos.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai 2026.

“Untuk PRN Negeri Sembilan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026.Manakala pengundian dijalankan bermula pada 28 Julai 2026.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari iaitu bagi Johor pada 27 Jun sehingga jam 11.59, 10 Julai 2026 manakala Negeri Sembilan bermula 18 Julai 2026 sehingga jam 11.59 malam, 31 Julai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR bagi membincangkan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu manakala DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu.
PRN Johor diadakan selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lalu setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tuanku Ismail.
Dalam PRN sebelum ini yang diadakan pada 12 Mac 2022, Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar apabila menangi 40 daripada 56 kerusi dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 3 kerusi dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) 1 kerusi.
Dalam PRN Negeri Sembilan pada 12 Ogos 2023, PH dan BN menubuhkan kerajaan negeri selepas menangi 31 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.
PH menang 17 kerusi dengan pecahan DAP 11 kerusi, PKR (5 kerusi) dan Amanah (1 kerusi) manakala BN pula menang 14 kerusi. PN menang lima kerusi melalui PAS 3 kerusi dan BERSATU 2 kerusi.
Bagaimanapun untuk PRN kali ini, PH dan BN akan bergerak berasingan selepas tercetus krisis politik pada 27 April apabila 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Namun Kerajaan Negeri tidak tumbang memandangkan kesemua ADUN tersebut masih menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu walaupun hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








