JENAYAH & MAHKAMAH

Duda dicekup khalwat, konon mahu bantu kekasih kereta rosak

KLUANG – Seorang duda berusia lingkungan 20-an memberi alasan hanya membantu menghantar pulang kekasihnya selepas kereta wanita itu rosak ketika ditahan dalam serbuan khalwat di sebuah rumah sewa di daerah ini, malam semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, lelaki terbabit yang juga bapa kepada seorang anak ditahan bersama pasangannya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

JAINJ berkata, serbuan dilakukan hasil aduan orang awam yang memaklumkan pasangan berkenaan dipercayai berkhalwat di rumah terbabit antara dua hingga tiga kali sebulan.

“Ketika tiba di lokasi, anggota penguat kuasa menemui sebuah motosikal di hadapan rumah sebelum membuat pemantauan dan mengepung premis bagi mengelakkan suspek melarikan diri.

“Selepas pintu diketuk, seorang lelaki membuka pintu sebelum pihak penguat kuasa memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan, seorang wanita ditemui berada di dalam rumah berkenaan. Pada awalnya, lelaki itu mendakwa wanita tersebut merupakan bakal isterinya, namun kemudian mengaku mereka hanya pasangan kekasih.

Siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit bekerja di Kluang dan mempunyai seorang anak di bawah jagaan bekas isterinya, manakala wanita berkenaan berasal dari negeri lain dan baru memulakan kehidupan di daerah itu.

“Ketika disoal siasat, lelaki itu mendakwa kehadirannya di rumah berkenaan hanyalah untuk membantu kerana kereta pasangannya rosak,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka telah dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan dan dijangka didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button